Thursday, 4 April 2013

Surat No. 1 : Pas ikut telunjuk DAP!


Surat No. 1

Pas ikut telunjuk DAP

Penggabungan PAS dengan DAP adalah satu perbuatan yang salah di sisi agama Islam kerana ia boleh memberi ancaman kehilangan kuasa pemerintahan kepada sebuah parti terbesar orang-orang Melayu beragama Islam iaitu UMNO.

Nik Aziz ada berkata bahawa UMNO telah memisahkan agama dan politik, di mana agama dan politik tidak boleh dipisahkan, katanya.

Sesungguhnya agama dan politik tidak boleh dikaitkan. Kita boleh berpolitik tetapi tidak boleh kaitkan bahawa politik itu satu tuntutan agama. Jika kita mengatakan politik itu satu tuntutan agama maka ia adalah bidaah kerana politik sebenarnya dilahirkan oleh orang-orang Barat dan ia tidak berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., juga tidak berlaku di zaman sahabat Baginda. Ini telah dijelaskan oleh Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi, Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, dan juga Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah. Hanya Nik Aziz sahaja yang tidak faham istilah “politik” itu.

Demi untuk menarik sokongan orang-orang Melayu kepada PAS atas kepentingan politik, Nik Aziz pernah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. juga terlibat dalam berpolitik. Jika benar Baginda terlibat dalam politik sebagaimana yang diperkatakan oleh Nik Aziz itu, sila jawab dengan jelas soalan-soalan berikut di bawah:

(a)    Rasulullah memimpin parti politik bernama apa?
(b)     Di mana Baginda bertanding?
(c)    Baginda bertanding di kerusi DUN atau Parlimen atau kedua duanya sekali seperti Haji Hadi yang pernah bertanding di Parlimen Marang dan DUN Rusila?
(d)     Berapa penggal Baginda menjadi wakil rakyat.
(e)     Adakah parti Rasulullah itu bergabung dengan mana-mana parti politik orang-orang kafir yang menentang penubuhan negara Islam atau hukum hudud seperti DAP?
(f)      Adakah ceramah politik Baginda dan orang-orang yang Baginda pimpin itu suka mencaci dan memfitnah sesama Islam seperti apa yang diamalkan oleh penceramah dan penyokong PAS selama ini?
(g)     Adakah Baginda sentiasa menurut keputusan politik yang dibuat oleh orang-orang kafir yang merugikan Islam seperti apa yang dituruti oleh Nik Aziz, Haji Hadi, Harun Din, Harun Taib, Husam Musa, Nik Amar Nik Abdullah, Muhamad Mustafa dan pemimpin tertinggi lain dalam PAS apabila diputuskan oleh DAP?
(h)  Adakah penyokong-penyokong parti politik Rasulullah ada mengibarkan bendera parti politik orang-orang kafir seperti apa yang dibuat oleh penyokong-penyokong PAS yang mengibarkan bendera DAP, sebuah parti politik yang menentang penubuhan negara Islam dan menentang hukum hudud, anti-Islam, anti-peruntukan masjid dan anti-anti lain?

Saya masih ingat, penceramah PAS sentiasa berkata, kerjasama PAS dengan DAP adalah untuk memperkenalkan Islam kepada orang-orang bukan Islam dalam DAP. Ringkas, sehingga ke hari ini sudah berapa puluh ribu orang-orang bukan Islam dalam DAP telah memeluk Islam? Diharap PAS dan DAP dapat kiranya keluarkan satu senarai nama-nama mereka yang telah memeluk Islam. Sebaliknya usaha-usaha DAP memurtadkan orang-orang Islam memang jelas ada.

Sebenarnya kelahiran parti politik yang bernama PAS di negara ini banyak menyumbangkan kepada perkara-perkara tidak baik untuk orang-orang Melayu kerana ia menggunakan agama untuk kekuatan parti tersebut iaitu PAS, sebaliknya UMNO menggunakan kuasa politik untuk menguatkan agama Islam dan usaha-usaha murni itu memang tidak nampak oleh Nik Aziz yang sentiasa berdendam dengan UMNO.

Seperti mana yang diperkatakan di atas, kita boleh berpolitik tetapi tidak boleh mengaitkan ia satu tuntutan agama. Seperti juga pakaian tali leher atau baju kot. Kita boleh memakainya sebagai satu pakaian tetapi tidak boleh kaitkan bahawa memakai pakaian tersebut adalah satu tuntutan agama.  Ini perlulah difahami oleh Nik Aziz dan penyokong-penyokong PAS.

Malaysia, negara kita, makmur sejahtera di bawah Kerajaan BN yang diterajui oleh kepimpinan UMNO beragama Islam. Jangan sekali-kali kita memperjudikan nasib masa depan kita, anak-anak kita, cucu-cucu kita, cicit-cicit kita, keseluruhan generasi kita hanya untuk kepentingan PAS atas nama “perubahan”. Adalah dibimbangi, perubahan yang dicari tetapi tidak mustahil malapetaka yang akan kita alami.

Sebelum kita menjadi manusia rugi, hendaklah kita sentiasa bersyukur apa yang kita perolehi selama ini daripada kurniaan Allah s.w.t.

Marilah kita sentiasa berdoa kepada Allah dengan harapan Allah membawa kita ke jalan kejayaan di dunia dan di akhirat bertunjangkan kepada ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. sahaja, dan bukannya Islam yang di bawa oleh Nik Aziz atau yang di bawa oleh PAS. Janganlah kita berkata bahawa Nik Aziz dan semua penyokong-penyokong PAS itu akan dimasukan ke syurga. Rujuk Al-Quran di Surah Al-Baqarah Ayat 214 bermaksud :

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu ujian dan cubaan seperti yang telah berlaku kepada orang-orang terdahulu daripada kamu ?

Terus terang ingin saya katakan, selagi rakyat Kelantan jahil Al-Quran, selagi itulah PAS akan terus berkuasa di Kelantan. Dengan memberi undi kepada PAS pada PRU-13 kelak bermakna kita memberi undi dan menyokong kepada perjuangan DAP yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-Raja Melayu, anti-peruntukan masjid dan berbagai-bagai lagi yang tidak mampu ditulis disini.

Pendirian Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi itu boleh disifatkan sebagai mengakui bahawa perjuangan UMNO adalah betul, dan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Kepada UMNO teruskan perjuangan untuk memperkasa dan memartabatkan Islam.

No comments:

Post a Comment